Wednesday 29 February 2012

Sejarah Jasin


 

SEJARAH

Sejarah awal pembukaan bandar Jasin bermula pada tahun 1918 iaitu di kawasan Kesang Pajak, mengikut aliran sungai. Bagaimanapun, tragedi kebakaran telah mengubah kedudukannya sebagai sebuah pekan kecil. Seorang pendatang berbangsa Bugis, Mat Yasin membangunkan semula kawasan itu pada tahun 1928. Usaha beliau telah mendapat kerjasama pihak Inggeris dan kawasan itu dipanggil Jasin ( mengikut sebutan orang Inggeris ) bersempena dengan nama Yasin. Sejak itu bandar Jasin mula berkembang. 


Dengan berkuatkuasanya Undang-undang Malaysia Akta Kerajaan Tempatan 1976, seperti mana juga dengan Penguasa-penguasa Tempatan yang lain di negara ini, Majlis Daerah Luar Bandar Jasin ( Jasin Rural District Council ) yang ditubuhkan pada tahun 1959 telah diberi pengiktirafan sebagai Majlis Daerah Jasin iaitu pada 1 Julai 1978. 


JASIN DALAM ZAMAN KESULTANAN MELAKA


Tidak terdapat banyak dokumen mengenai Daerah Jasin dalam Zaman Kesultanan Melaka. Tidak juga terdapat peta-peta lama untuk dijadikan panduan dalam mengenalpasti penempatan-penempatan di zaman tersebut. Sehingga kini kita tidak lagi mengetahui kampung-kampung manakah yang terdapat di daerah ini kecuali Hulu Duyung.


Salah satu dokumen yang ada menceritakan tentang Jasin ialah Hikayat Hang Tuah. Di dalam hikayat tersebut ada menceritakan bahawa Hang Tuah telah difitnah oleh orang lalu beliau dikenakan hukuman bunuh. Bendahara Tun Perak telah ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut. Bendahara Tun Perak telah mengetahui dari awal bahawa Hang Tuah tidak bersalah dan hukuman itu tidak dilaksanakan sebaliknya Bendahara menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka (Hulu Duyung). 


Di sinilah beliau tinggal bersama-sama dengan seorang pendita (petapa) sehingga beliau dibawa balik ke Melaka untuk menentang Hang Jebat. Hulu Duyung yang dimaksudkan itu terletak di Jasin iaitu di sekitar GAPAM, Bemban. Kemungkinan terdapat sebuah perkampungan kecil di situ satu waktu dahulu. Oleh kerana hanya Hulu Melaka sahaja yang terdapat di dalam dokumen lama, dapat dibuat kesimpulan bahawa kampung ini merupakan sebuah kampung yang tertua yang pernah wujud di daerah ini.


Satu peristiwa bersejarah yang terdapat di dalam Sejarah Melayu dan juga hikayat Hang Tuah ialah peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa peminangan ini diketuai oleh Tun Mamat. Tun Mamat berjaya sampai ke puncak gunung dan bertemu dengan puteri tersebut.


Mengikut tradisi lisan, rombongan meminang Puteri Gunung Ledang itu merentasi hutan dengan melalui Jasin. Semasa dalam perjalanan, Tun Mamat dan rombongannya singgah berehat di Jasin dan tempat singgahannya itu ialah di Rim. Sepanjang perjalanan mereka itu, tidak dinyatakan bahawa mereka ada bertembung dengan mana-mana perkampungan orang. Oleh itu dapat diyakinkan bahawa kawasan Jasin pada masa dahulu dipenuhi dengan hutan belantara.


Semasa singgah di Rim, Tun Mamat dikatakan telah menggali sebuah telaga dan telaga tersebut digelar Telaga Tun Mamat. Telaga tersebut terletak di kawasan Rim, Jasin. Malangnya, telaga itu telah ditimbus untuk melaksanakan projek Padang Bola Rim.


Satu lagi peristiwa bersejarah di zaman Kesultanan Melayu Melaka yang terdapat di Jasin ialah kemangkatan Tun Teja di Merlimau. Ketika Melaka diserang dengan hebatnya oleh Portugis, Sultam Mahmud dengan diiringi pengikut-pengikut setianya telah mengundurkan diri ke Bentayan (Muar). Pada waktu itu, Tun Teja sedang gering dan terpaksa ditandu sepanjang jalan. Akhirnya beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Merlimau. Pada waktu itu Merlimau belum lagi didiami orang. Begitu juga sepanjang jalan pengundurannya itu, tidak terdapat sebarang perkampungan kerana tidak tercatat di dalam dokumen tersebut. 


Daripada peristiwa-peristiwa yang diceritakan di atas, tidak ada sebarang bukti yang menunujukkan terdapatnya perkampungan orang tempatan di Daerah Jasin kecuali di sekitar Gapam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat suku-suku orang Darat yang mendiami hutan belantara Jasin tersebut. Mungkin juga terdapat beberapa kelompok menusia yang mendiami tebing-tebing sungai di daerah ini.


Pada tahun 1914, buat pertama kalinya surat dari Melaka telah dihantar ke Jasin dengan kereta dan pada tahun itu sudah ada kira-kira 50-60 buah kereta terdapat di atas jalanraya negeri Melaka.

sumber : webatu.com

Tuesday 28 February 2012

Kenangan Mengusik Jiwa.



Setiap rumah mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh tuan rumah mahupun dalam kalangan ahli keluarga. Begitu juga dengan Rumah Warisan Wahad Arshad yang kini didiami oleh anak kepada Allahyarham Wahab Arshad iaitu Puan Marlia Bt Idin, 79 tahun. Salah seorang anak Pn Marlia yang menetap bersama beliau ialah Puan Normala Bt. Ali.
Puan Marlia mempunyai 8 orang anak iaitu:

1.  En.Zakaria Bin Ali, 60
2. Allahyarham Mokhtar Bin Ali
3. En.Abd. Malik Bin Ali,55
4. En.Zulkifli Bin Ali, 52
5. Pn.Zaiton Bt Ali, 50
6. En.Mohd Anuar Bin Ali, 49
7. Pn.Norazizah Bt. Ali, 47
8. Pn.Normala Bt. Ali, 45

Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh Pn. Normala sendiri ialah kenangan semasa kecil bersama adik beradik beliau.Terdapat ruang terbuka di bahagian tengah rumah warisan ini dan ketika hari hujan, Pn.Normala dan adik-beradik beliau yang lain akan bersama-sama bermain hujan di kawasan tersebut. Kesemua anak-anak Puan Marlia dibesarkan oleh beliau sendiri di rumah warisan tersebut. Puan Normala Ali dan adik-beradik beliau yang lain bersekolah di Sekolah Rendah Selandar yang hanya 5 Km daripada rumah warisan tersebut. 

Terdapat banyak lagi kenangan yang tak dapat dilupakan oleh Puan Marlia sekeluarga. Rumah warisan ini telah diserahkan kepada Puan Normala Ali sebagai salah satu harta peninggalan bapa mereka. Kini, adik-beradik puan Normala yang lain menetap di sekitar negeri di Malaysia. Mereka akan berkumpul pada hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dan juga acara keluarga yang lain.

Monday 27 February 2012

Pengalaman sepanjang berada di Rumah Warisan Wahab Arshad


 

Sepanjang perjalanan kami menuju ke Rumah Warisan Wahab Arshad terdapat pelbagai jenis Rumah Warisan lain yang mempunyai rekabentuk rumah yang tersendiri. Namun, Rumah Warisan Wahab Arshad menjadi pilihan kami kerana reka bentuknya menarik perhatian kami. Setelah sampai di lokasi, kami berjumpa dan sesi temuramah dimulakan oleh kami kepada waris yang menjaga Rumah Warisan ini iaitu Puan Normala. 


Pelbagai soalan ditujukan kepada Puan Normala untuk mendapatkan sedikit maklumat berkenaan rumah warisan ini. Asalnya, Rumah Warisan Wahab Arshad ini dibina sendiri oleh En. Wahab Arshad dan seterusnya mewariskan rumah beliau kepada Puan Marlia bt Idin dan sekarang diwarisi oleh anaknya iaitu Pn. Normala sendiri. Puan Normala sangat bersemangat melayan karenah kami sepanjang sesi temuramah diadakan.

Setelah selesai sesi temuramah, kami dibenarkan untuk melawat sekitar kawasan perumahan Wahab Arshad. Kami juga dibenarkan untuk mengambil gambar setiap penjuru rumah. Uniknya Rumah Warisan Wahab Arshad adalah kerana mempamerkan ukiran asli dan masih mengekalkan tradisi melayu. Kami sangat teruja melihat keadaan didalam rumah kerana keunikannya yang asli dan keadaan rumah yang masih kekal dan cantik setelah beberapa tahun dijaga. Selain itu, segala gambar dan maklumat yang kami dapat kami sertakan didalam blog untuk tontonan dan maklumat kepada orang lain. 

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn Normala kerana telah memberi kerjasama kepada kami sepanjang sesi temuramah dan memberi kebenaran kepada kami untuk menjalankan tugas kami. Pengalaman sepanjang berada di Rumah Warisan Wahab Arshad tak akan kami lupakan. Semoga Rumah Warisan Wahab Arshad ini menjadi contoh perumahan warisan kepada generasi yang akan datang. Terima Kasih kami ucapkan.

Sunday 12 February 2012

Tempat Bersejarah Di Melaka





Laman Tiga Budaya
Taman Tema Air

Bagi pengunjung yang ingin melakukan aktiviti rekreasi bersama teman atau keluarga, Laman Tiga Budaya yang terletak berdekatan dengan Rumah Warisan Wahab Arshad merupakan tempat rekreasi yang sesuai untuk dikunjungi.




 Istana Melaka

Dalam menjana teknologi dalam zaman siber ini, kita tidak seharusnya melupakan sejarah negara. Istana Melaka mempamerkan pelbagai khazanah dan replika rumah serta istana-istana Melaka pada zaman terdahulu. Replika dalam pelbagai bentuk disertakan dengan informasi tentang sejarah juga disediakan oleh pihak Muzium Istana Melaka. Saban tahun jumlah pengunjung ke Istana Melaka semakin bertambah terdiri dari kalangan rakyat Malaysia dan juga pelancong luar.







Malacca Town

Bandaraya Melaka merupakan tempat yang selalu mendapat kunjungan dari pelancong dari luar negara dan juga rakyat tempatan. Terdapat pelbagai monumen dan bangunan-bangunan bersejarah tinggalan zaman penjajah di Tanah Melaka. jarak antara tempat bersejarah yang dekat memudahkan para pengunjung untuk bergerak melihat keunikan dan mengetahui sejarah Tanah Melayu.


Monday 30 January 2012

Landskap Rumah Warisan Wahab Arshad


Rumah Warisan Wahab Arshad telah dirasmikan dan diberi nama Rumah Tradisional Pondok Kempas Jasin oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Mohd Rustam pada 24 Disember 2001.


Rumah warisan yang masih mengekalkan seni bina atap tradisional 


Seperti rumah Melayu Melaka yang lain, rumah warisan ini juga mempunyai beranda khas untuk tetamu yang datang dan juga tempat untuk bersama keluarga di masa lapang


Antara keistimewaan rumah warisan ini ialah pengekalan ciri-ciri tradisional pada ukiran bunga pada jendela dan masih menggunakan kayu yang mempunyai standard yang tinggi bagi mengekalkan keutuhan rumah



 Rumah warisan ini mempunyai ruang khas untuk tuan rumah atau tetamu menyimpan barangan di bahagian atap rumah





 
Pandangan hadapan Rumah Warisan Wahab Arshad

 

Monday 16 January 2012

Rumah Warisan Wahab Arshad








Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat bertandang
Awal Bismillah pembuka bicara


 


 Assalammualaikum & Salam 1 Malaysia
Selamat bertandang ke blog Rumah Warisan Wahab Arshad
Tujuan blog ini ditubuhkan adalah untuk mempromosi khazanah rumah warisan disamping memperkenalkan pelbagai aktiviti dan servis yang disediakan di 
Rumah Warisan Wahab Arshad.

Maklumat ringkas tentang Rumah Warisan Wahab Arshad 

             Tuan Asal              : En. Wahab Bin Arshad
             Tahun siap dibina  : Sekitar tahun 1924 (bahagian hadapan)
                                            Tahun 1940 (bahagian belakang)
             Anggaran Usia      : 88 tahun
             Didiami oleh         : Puan Marlia Bt Idin,79 Tahun (anak kepada Wahab Arshad)
                                           Puan Normala Bt Ali (anak kepada Marlia Idin) & Keluarga
             Keistimewaan      :  Dibina sendiri oleh empunya asal rumah berkenaan, 
                                           En.Wahab Arshad dan sehingga kini masih mengekalkan 
                                           seni halus ukiran rumah dan konsep tradisional.